Suami Dan Isteri
Suami dan isteri adalah hasil dari ikatan ijab dan kabul. Apa bila seorang lelaki dan seorang perempuan diijabkabulkan maka wujudlah istilah suami dan isteri. Siapakah suami dan siapakah isteri? Suami lelaki dan isteri pompuan le...kakkakakak . Betul suami lelaki dan isteri pompuan...tapi itu dari dasarnya sahaja.
Mari kita lihat dengan lebih jauh. Seseorang perempuan atau wanita atau gadis.. bila diijabkabulkan maka terputuslah segala-galanya dari keluarganya. Segala tanggungjawabnya adalah untuk suaminya dan bukan lagi untuk keluarganya. Dan seorang lelaki setelah diijabkabulkan dan menerima “nikahnya” maka tertanggunglah segala beban dosa dan pahala sigadis yang dinikahnya keatas bahunya. Maka bermulalah si suami akan menjadi raja dan hamba kepada seorang isteri dan si isteri akan menjadi seorang permaisuri dan pelayan kepada suaminya.
Seorang suami wajib menyediakan segala keperluan rumahtangga mengikut kemampuannya. Seperti menyediakan tempat tinggal ( rumah ) kepada isterinya, menyediakan keperluan asas, menyediakan pembantu rumah, dan sebagainya. Seorang suami hendaklah melayan isterinya dengan lembut dan penuh kasih sayang. Bermesra dengan lembut setiap masa bukan hanya dikatil je. Dan tidak lupa tugasnya seorang raja atau ketua rumahtangga.
Mari kita lihat Rasullah;
Sebagai seorang suami, Baginda tidak keberatan membantu melakukan kerja-kerja rumah seperti menjahit pakaian, memerah susu kambing dan apabila Baginda mahu makan, Baginda makan apa sahaja yang tersedia. Al-Hafizh Ibnu Hajar pernah berkata bahawa Saiditina Aisyah r.a meriwayatkan dari Ahmad dan Ibnu Hibban, katanya: “Baginda yang menjahit pakaiannya, menjahit sepatunya dan mengerjakan apa yang biasa dikerjakan oleh lelaki di rumah mereka.” Rasulullah juga melayan kehendak isterinya tanpa menjatuhkan martabatnya sebagai seorang suami yang wajib dihormati oleh isteri. Ini menunjukkan bahawa pada masa-masa tertentu, suami mesti pandai mengambil hati isteri, jangan bersikap kasar atau garang sehingga sanggup mencederakan isteri.
Malah, jika direnung kembali wasiat Baginda yang terakhir, salah satu daripadanya menekankan tentang betapa pentingnya lelaki berhati-hati dalam perlakuan mereka kepada wanita (isteri). Baginda bersabda yang bermaksud: “Takutlah kamu pada Allah dalam hal wanita. Mereka berada di dalam peliharaanmu. Kamu telah mengambilnya sebagai amanah daripada Allah swt dan mereka itu dihalalkan untuk kamu dengan nama Allah S.W.T.” Wasiat terakhir ini menunjukkan betapa Rasulullah saw menekankan kepada peranan suami yang perlu bersabar ketika berhadapan dengan kerenah isteri demi kesejahteraan keluarga.
Tujuan Perkahwinan
i. Untuk meneruskan wujudnya keturunan manusia.
Firman Allah s.w.t, maksudnya :
“Wahai manusia, bertakwalah kepada Tuhan kamu yang menjadikan kamu dari diri yang satu, lalu dijadikan daripadanya pasangan (suami isteri) lalu berkembang-biak daripada keduanya lelaki dan wanita yang ramai”.
ii. Pemeliharaan terhadap keturunan
Dengan perkahwinan manusia dapat menentukan zuriat dan keturunannya dan mempunyai harga diri. Tanpa perkahwinan sesebuah masyarakat itu akan jadi porak peranda.
iii. Menjaga masyarakat dari sifat yang tidak bermoral
Sabda Rasulullah SAW, maksudnya :
“Wahai anak-anak muda! Barangsiapa di antara kamu yang mampu berkahwin hendaklah berkahwin. Kerana sesungguhnya perkahwinan itu membendung pandangan dan memelihara kemaluan. Tetapi barangsiapa yang tidak mampu, maka hendaklah berpuasa, sebab yang demikian itu akan menahan nafsu.”
iv. Menjaga ketenteraman jiwa
Firman Allah s.w.t, maksudnya :
“Di antara tanda-tanda kebesaranNya, diciptakanNya bagi kamu pasangan suami isteri dari diri kamu untuk kamu merasa ketenteraman di antara satu sama lain dan dijadikannya kasih sayang dari belas kasih antara kamu, sesungguhnya dalam hal itu menjadi keterangan bagi orang yang berfikir".
v. Memberi perlindungan kepada anak yang dilahirkan
Perkahwinan menjamin keselamatan anak yang dilahirkan. Tanpa ikatan perkahwinan seseorang boleh mengelakkan diri dari menjaga kebajikan seseorang anak. Oleh kerana itu akan lahirlah masyarakat yang terbiar dan menuju kehancuran.
Untuk menjamin kebahagiaan sesebuah rumahtangga, suami isteri hendaklah memahami tujuan perkahwinan dan mengetahui dengan jelas tanggungjawab masing-masing sebagaimana yang telah digariskan oleh Islam. Kerana itulah Islam menekankan kepentingan mengetahui hukum hakam agama dalam pemilihan jodoh.
Allah s.w.t telah mengamanahkan kepada manusia dengan berbagai tanggungjawab, termasuk tanggungjawab kepada keluarga. Adalah menjadi tugas setiap manusia untuk menyempurnakan tanggungjawab nya, berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w, maksudnya :
“Setiap kamu adalah penjaga dan setiap kamu bertanggungjawab di atas jagaannya. Lelaki (suami) adalah penjaga ke atas anggota keluarga rumahnya dan dia adalah bertanggungjawab di atas jagaannya itu. Perempuan (isteri) pula bertanggungjawab menjaga rumah suaminya dan bertanggungjawab terhadap jagaannya. Bukankah setiap kamu itu penjaga dan setiap kamu adalah bertanggungjawab ke atas jagaannya.”
Apabila seseorang itu selesai diijab-kabulkan maka sama ada ia sedar atau tidak ia telah memikul tanggungjawab sebagai suami atau isteri.
Apakah tugas dan tanggungjawab suami. Allah s.w.t sendiri menggariskan beberapa kewajipan yang mesti dilaksanakan oleh suami terhadap isteri, antaranya ialah :
i. Suami wajib memberikan mas kahwin kepada bakal isterinya. Firman Allah s.w.t. maksudnya : “Berilah mas kahwin kepada wanita (yang kamu nikah) sebagai pemberian yang wajib”
ii. Memberi nafkah zahir dan batin
a. Tempat tinggal / tempat kediaman bersama (suami dan isteri) iaitu rumah yang selayaknya yang memberi keselesaan dan keamanan.
b. Keperluan hidup iaitu makanan, pakaian dan peralatan yang munasabah dan selayaknya menurut kemampuan suami, sabda Rasulullah s.a.w maksudnya :
“Dan wajib ke atas kamu memberikan mereka (isteri-isteri) rezeki mereka dan pakaian mereka dengan baik. Tempatlah mereka di mana kamu bertempat tinggal mengikut kemampuanmu.”
iii. Bergaul dengan isteri dengan cara yang baik, mesra dan kasih sayang.
iv. Hendaklah berlaku adil sekiranya suami itu mempunyai isteri lebih dari satu.
v. Suami tidak boleh menyakiti, berlaku kasar atau memudharatkan isteri tanpa bersebab.
vi. Suami mesti memberi keizinan kepada isterinya untuk menziarahi keluarganya (ibu bapa dan kaum keluarganya) selagi ia tidak menimbulkan fitnah.
Bagaimana seorang suami perlu melayan seorang isteri? Mari kita ikut panduan yang telah digariskan oleh Rasullah;
1. Suami hendaklah sentiasa bertimbang rasa dengan menunjukkan kasih-sayang terhadap isteri, bercakap dengan lemah lembut dan mesra, selalu bermuka manis dan janganlah bermuka masam atau sering memarahi isterinya. Amat menyedihkan, bila sesetengah suami menyangka bahawa bersifat garang dan keras terhadap isteri itu adalah perlu untuk menunjukkan kelelakiannya, dan menganggap sifat berlemah-lembut terhadap isteri adalah memalukan.
Sifat kasar seorang suami akan mendorong isterinya untuk berbohong, menipu, menderhaka, malah berlaku curang kerana isteri akan hidup dalam tekanan,merasa kekurangan kasih sayang dan dipersiakan dalam rumahtangganya. Sebaliknya suami yang bersifat lembut, penyayang melayani dan membimbing isteri dengan baik, akan menyebabkan isterinya sentiasa mengasihi dan menghormatinya.
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
“Orang yang paling baik antara kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya, dan aku ialah orang yang sangat berlaku baik terhadap isteriku.”
2. Suami perlu memberi perbelanjaan rumahtangga/ keperluan hidup yang sebaiknya mengikut kemampuannya. Jika suami terlalu bakhil terhadap rumahtangga, maka diharuskan isteri mengambil sekadar yang diperlukan dari harta suaminya walaupun tanpa keizinannya, sebagaimana Rasulullah sendiri memberi kebenaran tersebut kepada isteri Abu Sufian apabila ia mengadu kepada Rasulullah tentang kebakhilan Abu Sufian.
3. Suami wajib menguruskan segala urusan rumahtangga dengan sebaik-baiknya dan menggembirakan hati isteri terutama apabila isterinya sakit, perlu diberi rawatan perubatan yang secukupnya.
4. Pandu dan bimbinglah isteri dengan pengukuhan iman dan memberi nasihat yang baik serta berilah contoh akhlak yang terpuji dan pengajaran secara berhemah. Rasulullah menghuraikan hakikat ini dengan sabdanya yang bermaksud:
“Sesungguhnya wanita itu adalah tulang rusuk (bengkok), sekiranya engkau mahu membetulkannya ia akan patah dan jika engkau membiarkannya, engkau akan menikmatinya dalam keadaan bengkok.”
5. Berilah isteri haknya sebagai isteri yang perlu dilayani dan dihormati, bukan sebagai orang suruhan (orang gaji - tukang masak dan tukang cuci), serta janganlah melayani isteri sebagai boneka seks yang digunakan semata-mata untuk memuaskan nafsu suami sahaja.
6. Suami hendaklah ikhlas dalam perhubungan dengan isterinya, iaitu setia, bersikap terus terang dan jujur kepada isteri. Jangan sekali-kali mendustainya, kerana jika isteri didustai dia akan mendustai suaminya pula
7. Sebagai ketua keluarga suami mesti bijak menguruskan isterinya, iaitu jangan mengikut segala kehendak isteri tanpa pertimbangan yang waras sehingga menjatuhkan maruah dan harga diri suami atau mengenepikan hukum agama. Ada juga suami yang terlalu menyayangi isteri sehingga sanggup mengikut segala arahan isteri (Berada di bawah telunjuk isteri )
8. Diharuskan suami memukul isterinya sekadar untuk mendidik, tetapi bukan mengambil kesempatan atau untuk balas dendam. Dalam hal ini suami tidak perlu memaki hamun isterinya apabila hendak memberi pengajaran, cukuplah menasihati isteri dalam bentuk yang sopan atau pulaukannya (tidak tidur bersamanya) sehingga isteri insaf dan memohon maaf.
Bagaimana pula tanggungjawab seorang isteri?
TAAT
Tanggungjawab utama seorang isteri ialah isteri perlulah taat dan patuh kepada suaminya. Kesetiaan isteri kepada suaminya perlu diutamakan terlebih dahulu lebih daripada keluarga terdekatnya sendiri.
Ini berdasarkan kepada sabda Rasulullah SAW:
Sekiranya aku ini orang yang menyuruh mana-mana orang supaya sujud kepada orang lain tentu sekali aku akan menyuruh isteri sujud kepada suaminya.
(Riwayat Abu Daud dan al-Hakim)
Isteri hendaklah mematuhi perintah si suami asalkan ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Andainya suami menyuruh melakukan dosa maka isteri dibenarkan membantah.
Sabda Rasulullah SAW:
Tidak boleh memtaati mahluk dalam perkara menderhaka kepada Allah SWT
MELAYAN SUAMI
Si isteri juga hendaklah melayan kehendak suami dengan baik pada bila-bila masa sahaja. Hubungan yang perlu dijaga ialah hubungan kelamin antara kedua-duanya. Oleh sebab itu, si isteri hendaklah memastikan bahawa ia melayan kehendak suaminya.
Sabda Rasulullah SAW:
Apabila seorang suami mengajak isterinya ke tempat (Riwayat sebahagian Ahli Sunnah) tidur, tetapi ia enggan melayan ajakan suaminya, maka suami tidur dengan marah pada waktu malam itu, nescaya malaikat mengutuknya sampai waktu subuh.
Untuk mengelakkan daripada digolongkan dalam golongan yang ingkar, maka isteri perlulah memenuhi kemahuan si suami jika tidak mempunyai alasan yang kukuh untuk menolaknya.
MENGURUS RUMAHTANGGA
Tugas seorang isteri ialah untuk menjadikan tempat tinggalnya sebagai satu tempat untuk berehat serta menghasilkan persekitaran yang menyenangkan. Isteri hendaklah menghias rumah itu supaya ia kelihatan damai dan rasa senang hati untuk tinggal di situ. Untuk menghias rumah itu, si isteri perlulah menghias mengikut kemampuan keperluan keluarga itu. Citarasa hiasan dalaman itu bergantung kepada suami isteri asalkan ia tidak melanggar hukum Islam.
Pengurusan rumahtangga adalah tanggungjawab seorang isteri. Walaupun mempunyai pembantu rumah, isteri masih bertanggungjawab untuk menyelia segala pengurusan rumah itu. Suami pula diharapkan dapat membantu si isteri dalam melakukan kerja-kerja rumah. Dengan adanya kerjasama daripada kedua-dua belah pihak, maka akan wujudlah sebuah keluarga bahagia serta dapat merapatkan lagi hubungan sesama mereka.
MENJAGA MARUAH DIRI, SUAMI DAN KELUARGA
Sebagai seorang isteri, isteri hendaklah menjaga maruah dan akhlak terutamanya apabila keluar dari rumah. Apabila si isteri keluar rumah kerana sebab-sebab tertentu seperti bekerja, melawat sanak saudara atau keluar membeli-belah, pakaian yang dipakai hendaklah menutup aurat dan tidak menjolok mata, berjalan dengan cara yang tidak menarik perhatian ramai serta berkelakuan baik. Si isteri perlulah menundukkan pandangan serta menjauhkan dirinya daripada segala fitnah yang mungkin akan berlaku.
Firman Allah:
Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: “Hendaklah mereka menghulurkan Jilbabnya ke seluruh tubuh mereka”. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
MENYENANGKAN HATI SUAMI
Apabila si suami memberikan pemberian dalam apa sahaja bentuk, adalah menjadi tanggungjawab si isteri untuk menghargai pemberian suami itu. Si isteri tidak boleh meminta-minta hadiah daripada si suami yang melebihi daripada kemampuannya. Jika mendapat hadiah walaupun yang kecil sahaja, isteri hendaklah menghargainya dan tidak mengkritik-kritik bentuk hadiah itu.
Untuk menyenangkan hati si suami melihat si isteri, maka si isteri haruslah menjaga dirinya supaya kelihatan ceria dan menarik. Ketika berada di dalam rumah, si isteri perlulah mengenakan solekan yang sewajarnya agar suami tertarik hati melihatnya. Si isteri juga hendaklah memakai wangi-wangian yang boleh menarik perhatian si suami.
PENDORONG DAN MEMBERI MOTIVASI
Isteri yang solehah seharusnya menjadi teman berunding bagi suami, menjadi sahabt dalam menyelesaikan masalah. Itulah sebabnya hubungan suami isteri itu diertikan orang sebagi “teman hidup”. Jika suami menghadapi masalah untuk mencapai cita-citanya dan keluarganya, maka berilah motivasi kepada suami disamping menghiburkan hatinya.
Untuk menyelesaikan apa juga masalah keluarga, suami isteri perlulah sentiasa berbincang demi kebaikan bersama. Perbincangan adalah lebih baik daripada bersikap autokratik kerana kata sepakat dapat dicapai untuk kebaikan bersama dan tidak untuk kepentingan satu pihak sahaja. Malah, dengan perbincangan juga suami isteri boleh mendapat ilham baru untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi bersama. Dalam menunaikan tanggungjawab masing-masing, kadang-kadang kita memerlukan pertolongan dalam hal-hal kebajikan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan